comscore
Tumpuan :
Dunia

Kedutaan nafi tak bantu rakyat Malaysia terbabit nahas Itaewon

Lokasi kejadian rempuhan di daerah Itaewon, Korea Selatan. – FOTO EPA

KUALA LUMPUR: Keduataan Besar Malaysia di Seoul menafikan dakwaan tidak memberi bantuan sewajarnya kepada seorang warga tempatan yang terbabit dalam insiden rempuhan Halloween di Itaewon, Korea Selatan.

Sebaliknya Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Lim Juay Jin, berkata pihanya sudah membantu ibu bapa mangsa mendapatkan visa untuk melawat anaknya, Athena Lim, 26, sejurus kejadian terbabit.

Pihak kedutaan juga sudah menyelaraskan pertemuan bersama Athena yang juga pelajar jurusan bahasa di salah sebuah universiti di Seoul.

Beliau berkata, kejadian menimpa satu-satunya warga Malaysia itu dimaklumkan doktor yang merawat Athena, selain memaklumkan tiada warga tempatan yang maut dalam kejadian itu.

“Athena hanya mengalami cedera ringan di kaki dan dirawat sebagai pesakit luar di salah sebuah hospital berhampiran lokasi kejadian, sebelum dibenarkan pulang oleh pihak berkuasa.

“Dia ke lokasi kejadian kerana teruja untuk menyertai pesta Halloween yang turut dimeriahkan dengan ramai artis K-Pop, selepas menghadiri upacara penghormatan terakhir rakannya.

“Saya juga sudah bertemu dengan Athena selepas keadaannya dilaporkan normal dan bertanyakan mengenai kejadian terbabit,” katanya kepada BH, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa metropolitan Seoul menerima 355 laporan individu hilang, dipercayai menjadi mangsa tragedi rempuhan ketika pesta Halloween di Itaewon, malam kelmarin.

Memetik laporan Yonhap, pihak berkuasa Seoul, menerusi satu kenyataan, berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti senarai mangsa yang hilang.

Sementara itu, agensi REUTERS pula melaporkan, sekurang-kurangnya 154 mangsa, termasuk 26 warga asing maut manakala puluhan warga asing turut cedera ketika orang ramai berkumpul untuk menyambut pesat berkenaan.

Seramai 26 warga asing yang maut dalam insiden itu termasuk lima dari Iran, empat mangsa masing-masing dari China dan Russia, dua dari Amerika Syarikat, dua dari Jepun serta seorang dari Perancis, Australia, Norway, Austria, Vietnam, Thailand, Kazakhstan, Uzbekistan dan Sri Lanka.

Setakat ini, seorang warga asing sedang dirawat di hospital, manakala 14 lagi yang cedera sudah dibenarkan pulang.

Ahad lalu, wad pusat Yongsan di Seoul, ditetapkan sebagai zon khas bencana berikutan insiden rempuhan paling teruk dalam sejarah moden negara.

Loading...
Terkini