SINGAPURA: Siasatan awal mendapati punca kebakaran sehingga menyebabkan pesawat Air China CA 403 terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Changi Singapura, semalam disebabkan kegagalan mekanikal pada enjin.
Menerusi hantaran di laman sosial Weibo syarikat penerbangan itu memaklumkan, anak kapal yang mengendalikan insiden itu mengikut prosedur dan penumpang memberikan kerjasama ketika pemindahan.
Penerbangan CA403 dikatakan sedang dalam perjalanan dari Chengdu ke Singapura apabila asap dilaporkan dalam ruang kargo hadapan dan tandas kira-kira jam 4 petang waktu tempatan.
Pesawat yang membawa 146 penumpang dan sembilan anak kapal itu melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Changi pada kira-kira jam 4.15 petang waktu tempatan.
Video kejadian itu menunjukkan penumpang menggelongsor menuruni pintu keluar kecemasan dengan api kelihatan di bahagian kiri enjin.
Sembilan penumpang mengalami kecederaan ringan membabitkan penyedutan asap dan melecet ketika proses pemindahan, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).
Sebuah landasan ditutup selama kira-kira tiga jam susulan insiden itu dan pesawat Air China yang terjejas ditarik balik kira-kira jam 6 petang.
“Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan sedang menyiasat insiden itu dan sudah menghubungi rakan sejawatannya dari China yang akan membantu siasatan,” kata CAAS semalam. – AGENSI