BERLIN: Seorang lelaki di Jerman bertindak kejam menetak neneknya yang berusia 100 tahun, dengan kapak, sehingga mangsa mati hanya kerana tidak tahan menguruskan wanita warga emas itu yang menghidap demensia.
Metro UK melaporkan, pendakwa raya berkata, mangsa, penghidap demensia dikenali Amalie G, ditemui dengan keadaan kepalanya dipenggal di rumahnya, pada Mac lalu.
Berikutan itu, cucunya, Artur B, 37, dihadapkan ke mahkamah di Hamburg, Khamis lalu, kerana didakwa atas pertuduhan membunuh mangsa.
Menurut akhbar Jerman Bild pula, Artur dituduh mengambil kapak dan menyerang Amalie ketika neneknya itu duduk di atas kerusi roda.
Warga emas itu berjaya mengambil pembersih hampagas tanpa wayar dan cuba mempertahankan diri, tetapi cucunya menghayun kapak itu sebanyak 16 kali.
Amalie dikatakan ditetak di bahagian bahu, kepala dan leher, dengan hentakan terakhir memutuskan saraf tunjangnya.
Insiden itu pada mulanya dikaitkan dengan pergaduhan yang berpunca kerana wang.
Artur, bekas askar yang menganggur dan pekerja kilang kimia dikatakan berulang kali dituduh mencuri oleh neneknya.
Bagaimanapun, pihak pendakwa kini percaya Artur, yang menjaga neneknya, mahu melepaskan diri daripada menguruskan keperluan wanita itu.
Dia menerima rawatan untuk masalah psikologi, termasuk ubat-ubatan.
Artur turut bercakap dengan pakar psikiatri ketika dalam tahanan, lapor akhbar itu.
Pakar psikiatri dilaporkan sedang melakukan penilaian sama ada lelaki berusia 37 tahun itu bertanggungjawab secara jenayah atas tindakannya pada masa itu.
Artur dijangka memberi keterangan pada Isnin apabila perbicaraan kes itu bersambung.