Tumpuan :
Dunia

Keluarga Malcolm X saman FBI, CIA, dan NYPD atas tuduhan konspirasi pembunuhan

Peguam mewakili keluarga Malcolm, Ben Crump dan pasukan guamannya bersama anak perempuan mendiang Ilyasah Shabazz, ketika sidang media mengumumkan tuntutan saman terhadap agensi kerajaan AS. – FOTO: Reuters

NEW YORK: Keluarga pemimpin hak sivil Amerika Syarikat (AS), Malcolm X yang dibunuh 60 tahun lalu, memfailkan saman persekutuan bernilai AS$100 juta terhadap Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Agensi Perisikan Pusat (CIA), dan Jabatan Polis New York (NYPD) kerana didakwa terlibat bersubahat dan membiarkan pembunuhan Malcolm X berlaku.

Saman yang difailkan oleh anak perempuan Malcolm X, Ilyasah Shabazz, dan ahli keluarga lain, menuduh pihak berkuasa menyembunyikan bukti bahawa mereka mengetahui rancangan pembunuhan tetapi tidak bertindak menghentikannya.

“Kami percaya mereka semua berkomplot untuk membunuh Malcolm X, salah seorang pemikir terbesar abad ke-20. Kami berusaha memastikan keadilan dan kebenaran tercatat dalam sejarah.” Jelas peguam yang mewakili ahli keluarga Malcolm, Ben Crump ketika sidang media di memerial peringatan yang terletak di tapak Audubon Ballroom, lokasi pembunuhan Malcolm X pada 1965.

Malcolm X, seorang pemimpin terkenal dalam Nation of Islam, mula mendapat ancaman selepas meninggalkan kumpulan tersebut pada 1964 dan melonggarkan pendiriannya terhadap pemisahan kaum.

Sebelum ini, salah seorang anggota Nation of Islam, Talmadge Hayer, mengaku di mahkamah sebagai salah seorang pembunuh, bagaimanapun, wujud konspirasi kerajaan AS mungkin mengetahui rencana pembunuhan dan tidak bertindak telah berlarutan selama puluhan tahun.

Menurut Crump, bukti baru menunjukkan terdapat sembilan pemberi maklumat FBI di tempat kejadian, termasuk seorang yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan FBI.

Bagaimanapun, pada ketika ini tiada maklum balas daripada pihak FBI, CIA, dan NYPD berhubung isu saman berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini