comscore
Tumpuan :
Dunia

Kemarau jejaskan laluan perkapalan di Terusan Panama

Foto: Reuters

MEXICO CITY: Lalu lintas perkapalan melalui Terusan Panama kini dikurangkan berikutan paras air yang rendah di laluan penting itu, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan pentadbiran terusan itu.

Menjelang Februari tahun depan, bilangan perjalanan kapal yang boleh ditempah untuk laluan itu akan dikurangkan secara beransur-ansur daripada 30 kepada 18 kapal sehari.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, jumlah hujan yang rendah serta suhu yang lebih tinggi menyebabkan paras air di Gatún Lake, sebuah tasik buatan di Terusan Panama, menurun sehingga menjejaskan operasi.

Sejak tahun 1950, jumlah hujan tidak pernah serendah Oktober tahun ini, dan keadaan ini dijangkakan berlarutan sehingga akhir tahun.

“Walaupun pelbagai langkah diambil, paras Gatun Lake terus merosot ke paras yang belum pernah berlaku seperti tahun ini,” kata pihak berkuasa terusan itu.

Terusan Panama merupakan antara laluan perkapalan penting di dunia. Ia menghubungkan Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik merentasi Amerika Tengah.

Terusan sepanjang 80 km itu bermula di Colón di utara dan berakhir berhampiran Panama City di selatan.

Kira-kira 14,000 kapal melalui Terusan Panama setiap tahun, menyumbang kira-kira enam peratus daripada perdagangan dunia.

Laluan air itu mempunyai tiga sistem kunci air untuk menaikkan dan menurunkan kapal ke paras Tasik Gatún, takungan buatan sebesar 28 meter di atas paras laut. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini