NEW DELHI: Iran dan Afghanistan pada Jumaat memberi penghormatan kepada pemimpin Hamas, Yahya Sinwar yang meninggal dunia ketika bertempur dengan tentera Israel.
Ketua Biro Politik Hamas berusia 62 tahun itu digambarkan oleh Kementerian Luar Iran sebagai “wira dalam perjuangan pembebasan Palestin”.
Hamas menamakan Sinwar sebagai pengganti kepada Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh yang dibunuh Israel di Tehran pada Julai.
“Yahya Sinwar melambangkan penentangan terhormat terhadap penjajahan dan penindasan oleh Zionisme, menghabiskan seluruh hidupnya berjuang untuk hak asasi manusia dan hak sah rakyat Palestin serta membebaskan mereka daripada cengkaman penjajahan dan aparteid,” menurut kenyataan itu.
Hamas pada Jumaat mengesahkan Sinwar terbunuh dalam serangan Israel pada Khamis.
Perkara itu disahkan oleh anggota biro politik Hamas, Khalil al-Hayya dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun Telegram Briged al-Qassam milik Hamas.
Kementerian Luar Iran turut mengingatkan bahawa Sinwar menghabiskan 22 tahun hidupnya di penjara rejim Zionis di mana beliau menulis beberapa karya, termasuk novel bertajuk ‘The Thorn and the Clove’.
Afghanistan turut bersedih atas kematian Sinwar.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami menerima berita syahidnya Yahya Sinwar, pemimpin Gerakan Islam Hamas, yang terkorban dalam serangan oleh penjajah Zionis Israel,” kata kerajaan Afghanistan.
Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menyifatkan Sinwar sebagai “pemimpin nasional yang hebat”.
PLO mengecam tindakan rejim Zionis yang terus melakukan “pembunuhan beramai-ramai dan perang genosid terhadap rakyat kami dan bangsa Arab kami di Palestin dan Lubnan”.
Sementara itu, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan mengadakan pertemuan dengan wakil kanan Hamas.
Beliau menyampaikan ucapan takziah atas kematian Sinwar dan membincangkan situasi kemanusiaan yang semakin kritikal di utara Gaza.
Perbincangan itu turut meliputi proses perdamaian antara Palestin dan kemungkinan gencatan senjata serta pertukaran tawanan, lapor TRT World.
Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan serangan ketiga oleh Israel terhadap kemudahan agensi itu dalam tempoh seminggu lalu, menurut timbalan jurucakap bagi Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Farhan Haq dalam taklimat harian di Ibu Pejabat PBB pada Jumaat.
Beliau berkata Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan keadaan di utara Gaza semakin meruncing dan berbahaya bagi orang awam, dengan orang ramai cuba bertahan di bawah pengeboman hebat.
Tentera Israel menyekat akses ke kem pelarian Jabalia, di mana puluhan orang dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan.
“Dalam kejadian sebelum ini, OCHA mengiringi pasukan penyelamat yang memperoleh akses terlalu lewat, mengakibatkan hanya mayat yang ditemukan,” kata jurucakap PBB itu.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.