comscore
Tumpuan :
Dunia

Keputusan awal: Tokayev menang pemilihan Presiden Kazakhstan

FOTO: Reuters

ISTANBUL: Penyandang Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev memenangi pilihan raya presiden pada Ahad dengan lebih 81 peratus undian, menurut keputusan awal pada Isnin.

Tokayev memperoleh lebih 6.4 juta undi sekali gus menoktahkan kemenangan mudahnya menentang lima calon kurang dikenali, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita Kazakhstan Kazinform

Pusat mengundi ditutup pada 10 malam waktu Astana (1600GMT) dan peratusan keluar mengundi sekitar 69 peratus, hampir 8.3 juta daripada 12 juta pengundi.

Tokayev menggesa agar pilihan raya awal diadakan pada akhir September.

Pengumuman itu dibuat selepas Tokayev meluluskan pindaan perlembagaan mengenai penggal perkhidmatan presiden daripada lima kepada tujuh tahun dan menghalang presiden berkhidmat untuk penggal kedua.

Satu lagi langkah ialah menukar nama ibu negara kembali kepada Astana selepas ia ditukar kepada Nur-Sultan pada 2019 sebagai penghormatan kepada bekas Presiden Nursultan Nazarbayev.

Tokayev mengambil alih jawatan presiden pada Mac 2019 dan menggantikan Nazarbayev yang memerintah negara Asia Tengah itu selama tiga dekad. – BERNAMA

Loading...
Terkini