Tumpuan :
Dunia

Kerajaan Indonesia cari penyelesaian masalah kesesakan di penjara

Foto fail Reuters

JAKARTA: Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Hal Ehwal Penjara Yusril Ihza Mahendra menegaskan bahawa kerajaan sedang mengusahakan pembaharuan undang-undang bagi mengatasi masalah kesesakan penjara.

“Pendekatan yang lebih mendalam diperlukan, termasuk penambahbaikan dalam aspek perundangan khususnya berhubung narkotik,” katanya pada Khamis selepas menghadiri Majlis Anugerah Penilaian Pematuhan Perkhidmatan Awam 2024, lapor agensi berita ANTARA.

Di bawah Undang-Undang Narkotik semasa, penagih dadah di negara itu berdepan hukuman penjara.

Menteri itu berkata bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan alternatif kepada hukuman penjara bagi penagih dadah dengan memberi tumpuan kepada pemulihan sebagai pilihan utama.

Beliau turut menegaskan keperluan mencari penyelesaian segera untuk menangani kesesakan penjara, dengan lebih 50 peratus banduan ditahan berkaitan kes dadah.

Daripada 271,385 banduan yang ditempatkan di penjara di seluruh Indonesia, seramai 135,823 berkaitan dadah.

Jumlah tahanan di penjara melebihi kapasiti maksimum 140,424 orang, menyebabkan kadar kesesakan mencapai 97 peratus.

Sementara itu, Mahendra berkata beliau akan berkoordinasi dengan Kementerian Imigresen dan Hal Ehwal Penjara untuk mengambil tindakan tegas dan menjalankan siasatan berhubung kejadian tujuh tahanan melarikan diri dari Pusat Tahanan Kelas I Salemba, Jakarta Pusat.

Beliau memaklumkan bahawa insiden tujuh tahanan melarikan diri pada Selasa adalah perkara yang membimbangkan.

Siasatan yang akan dijalankan oleh Kementerian Imigresen dan Hal Ehwal Penjara itu bertujuan mengenal pasti sama ada kejadian berlaku akibat kecuaian atau faktor disengajakan.

— BERNAMA-ANTARA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini