comscore
Tumpuan :
Dunia

Kerajaan Indonesia hantar 40 tan beras kepada penduduk terjejas bencana di Sulawesi Selatan  

 

Foto: Agensi

MAKASSAR: Kerajaan pusat telah menyampaikan bantuan makanan berupa 40 tan beras kepada penduduk yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di enam daerah di Wilayah Sulawesi Selatan, lapor Antara.

Ketua Pejabat Hal Ehwal Sosial Sulawesi Selatan, Abdul Malik Faisal berkata di sini pada Khamis bahawa bantuan beras itu disumbangkan oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial dan beberapa perusahaan yang dikendalikan kerajaan, seperti BNI dan Pupuk Indonesia.

“Alhamdulillah, pada awal pagi Khamis, kami menerima 40 tan beras daripada Kementerian Hal Ehwal Sosial dan syarikat milik kerajaan negeri.”

Faisal berkata bantuan beras itu kini disimpan di dua lokasi berbeza sebelum diagihkan.

“Sebanyak 30 tan beras telah diturunkan di pos berkenaan. “Sementara itu, bantuan selebihnya disimpan di Lapangan Terbang Bua dan akan diangkut menggunakan helikopter tentera ke mukim Latimojong (daerah Luwu) yang kini tidak boleh diakses melalui jalan raya.”

Susulan kejadian tiga jambatan runtuh, beliau berkata 16 kampung di mukim Latimojong tidak boleh dilalui kenderaan.
Beliau berkata Angkatan Bersenjata Republik Indonesia, Polis dan Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB) merancang untuk mengerahkan helikopter bagi melaksanakan pengedaran bantuan kepada ribuan penduduk di 16 kampung terpencil yang terjejas itu.

“Insya-Allah, bantuan akan diagihkan dengan segera. Kami telah membuat penyelarasan untuk menyampaikan bantuan serta-merta, termasuk yang disumbangkan oleh pihak lain, ke kawasan yang terjejas.”

Dalam sidang media pada Rabu (8 Mei), Faisal berkata 70 institusi kerajaan dan swasta telah menyumbang kepada pemberian bantuan bencana di Sulawesi Selatan. – BERNAMA-ANTARA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini