comscore
Tumpuan :
Dunia

Kes COVID-19 Singapura naik hampir dua kali ganda

 

Foto hiasan

SINGAPURA: Singapura mencatatkan peningkatan hampir dua kali ganda kes mingguan COVID-19, mendorong Kementerian Kesihatan (MOH) mengambil langkah memastikan kapasiti mencukupi di hospital awam.

Anggaran kes jangkitan COVID-19 pada minggu 5 hingga 11 Mei meningkat kepada 25,900 kes, peningkatan 90 peratus berbanding 13,700 kes pada minggu sebelum itu.

Purata kemasukan ke hospital COVID-19 harian meningkat kepada 250 daripada 181 pada minggu sebelumnya, menurut MOH semalam.

MOH berkata purata kes harian dalam rawatan rapi kekal rendah iaitu tiga kes berbanding dua kes pada minggu sebelumnya.

“MOH menjejaki dengan teliti trajektori gelombang ini,” kata kementerian itu yang dilaporkan portal berita CNA.

“Untuk melindungi kapasiti katil hospital dan sebagai langkah berjaga-jaga, hospital awam diminta mengurangkan kes pembedahan elektif yang tidak mendesak dan memindahkan pesakit yang sesuai ke kemudahan penjagaan seperti Kemudahan Penjagaan Peralihan atau di rumah melalui Mobile Inpatient Care@Home.”

Ia juga menggesa orang ramai untuk tidak mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan hospital jika gejala mereka ringan atau jika mereka bukan golongan rentan.

Strain KP.1 dan KP.2 virus COVID-19 kini menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah kes di Singapura.

Kedua-dua strain itu tergolong dalam kumpulan varian COVID-19 yang digelar saintis sebagai “FLiRT”. Jenis ini berasal daripada varian JN.1, yang tersebar dengan cepat ke seluruh dunia beberapa bulan lalu.

Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengklasifikasikan KP.2 sebagai Varian Di Bawah Pemantauan. Ia juga merupakan strain dominan di Amerika Syarikat dan dikesan di negara seperti China, Thailand, India, Australia dan United Kingdom.

“Pada masa ini tiada tanda-tanda, secara global atau tempatan, bahawa KP.1 dan KP.2 lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit yang lebih teruk daripada varian lain yang beredar,” kata MOH.-AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini