MOSCOW: Satu lagi kes strain baharu mpox, Clade Ib mpox, telah dikesan di United Kingdom (UK), menjadikan jumlah jangkitan meningkat kepada lima kes, kata Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Satu kes baharu Clade Ib mpox telah dikesan di England… ini adalah kes kelima Clade Ib mpox yang disahkan di England dalam beberapa minggu kebelakangan ini,” menurut kenyataan UKHSA yang dikeluarkan kerajaan.
Kes baharu itu dikesan di Leeds melibatkan seorang individu yang baru pulang dari Uganda.
Empat kes sebelumnya berasal dari isi rumah yang sama dan kini telah pulih sepenuhnya, menurut agensi itu, sambil menegaskan ia tiada kaitan dengan kes baharu berkenaan.
UKHSA berkata risiko kepada populasi UK adalah rendah, namun beberapa kes import secara sporadik mungkin terus berlaku.
Clade Ib mpox dilaporkan tersebar luas di Republik Demokratik Congo, Burundi, Rwanda, Uganda, dan Kenya dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Kes import turut dikesan di Kanada, Sweden, India, Thailand, dan Jerman.
Mpox ialah penyakit berjangkit yang jarang berlaku tetapi boleh merebak antara manusia. Ia biasanya penyakit ringan dengan kebanyakan pesakit pulih dalam beberapa minggu, namun sesetengahnya boleh mengalami komplikasi.
Gejala awal mpox termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, pembesaran kelenjar limfa, menggigil, dan keletihan. Ruam mungkin muncul, bermula di muka sebelum merebak ke bahagian tubuh lain.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak mpox di Afrika sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa pada Ogos lepas.
— BERNAMA-SPUTNIK
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.