ASHEVILLE: Timbunan sisa sampah, kaca dan kotak memenuhi sepanjang jalan raya menuju salah sebuah lokasi pusat mengundi utama di Asheville rentetan Taufan Helene yang melanda kawasan itu pada Jumaat.
Perkara ini disahkan pegawai kawasan pilihan raya presiden Amerika Syarikat di Asheville, Teri Gentile yang memaklumkan pihaknya juga memastikan pusat mengundi kembali beroperasi.
Ia termasuk kemudahan tandas mudah alih dan membawa masuk tangki air besar.
Pihaknya mempunyai kakitangan yang bekerja hampir lima jam setengah dalam satu jadual kerja dan kemudian lima atau enam jam pada sesi berikutnya.
Tambahnya lagi, kesemua kakitangan perlu memperoleh akses kemudahan air.
Pilihan raya presiden antara calon Demokrat, Kamala Harris dan Republikan, Donald Trump semakin sengit dalam minggu terakhir.
Tinjauan Reuters/Ipsos menunjukkan Harris mendahului Trump dengan 44 peratus berbanding 43 peratus dalam kalangan pengundi berdaftar di seluruh negara.
Pada saat genting ini, kedua-dua calon dilihat mempergiat usaha bagi meraih sokongan rakyat di negeri bahagian barat yang menjadi medan pertarungan penting dengan fokus kepada isu imigresen dan menarik sokongan pengundi dalam kalangan komuniti Latin.
Undian bagi pilihan raya tahun ini turut menunjukkan jurang jantina luas dengan pengundi wanita cenderung memberi sokongan kepada Harris, manakala Trump memperoleh lebih banyak sokongan kaum lelaki.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.