comscore
Tumpuan :
Dunia

Ketua kumpulan Daesh dilapor terbunuh dalam pertempuran

Ketua kumpulan Daesh, Abu al-Hassan al-Hashimi al-Qurayshi. Foto: Reuters

BEIRUT: Ketua kumpulan Daesh, Abu al-Hassan al-Hashimi al-Qurayshi, dilaporkan terbunuh dalam pertempuran baru-baru ini, menurut jurucakap kumpulan itu dalam audio yang dikeluarkan semalam.

Al-Qurayshi adalah pemimpin kedua yang terbunuh tahun ini, ketika kumpulan pelampau itu cuba bangkit semula dengan melakukan serangan maut di Iraq dan Syria beberapa bulan kebelakangan ini.

Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata, al-Qurayshi dibunuh pada pertengahan Oktober lalu dalam operasi dijalankan oleh pemberontak Syria di wilayah selatan Syria, Daraa.

Namun, tidak dijelaskan mengapa pengumuman itu hanya dibuat sekarang, selepas sebulan al-Qurayshi dibunuh.

“Kumpulan Daesh kekal sebagai ancaman kepada rantau ini dan CENTCOM serta rakan kongsi kami kekal menumpukan kepada memastikan kekalahan berterusan kumpulan itu,” kata Komando Pusat AS.

Menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, pada pertengahan Oktober lalu pemberontak Syria, yang sebelum ini berdamai dengan kerajaan, membunuh sekumpulan pelampau Daesh di perkampungan selatan Jassem di Daraa.

Al-Qurayshi mengambil alih kepimpinan kumpulan itu berikutan kematian pemimpin terdahulu, Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi, dalam serbuan AS pada Februari lalu di barat laut Syria.

Kematian itu memberi tamparan hebat kepada kumpulan yang dikalahkan di Iraq pada 2017 dan di Syria dua tahun kemudian.

Pengumuman oleh jurucakap Daesh, Abu Omar al-Muhajer, dibuat ketika kumpulan itu cuba melakukan serangan maut di beberapa bahagian di Syria dan Iraq.

Al-Muhajer berkata, Abu al-Hussein al-Husseini al-Qurayshi dinamakan sebagai ketua baharu kumpulan itu.

Kumpulan Daesh berpisah dari al-Qaeda kira-kira sedekad lalu dan akhirnya menguasai sebahagian besar utara dan timur Syria serta utara dan barat Iraq.

Pada 2014, kumpulan pelampau itu mengisytiharkan kumpulan mereka sebagai khalifah, menarik penyokong dari sekitar dunia. – AP

Loading...
Terkini