
Ketua mafia paling dikehendaki di Itali, Matteo Messina Denaro ditahan pada Januari selepas menjadi pelarian selama 30 tahun, meninggal dunia.
Agensi berita Itali ANSA melaporkan, ketua mafia Cosa Nostra Sicily berusia 61 tahun itu menghidap kanser kolon dan dilaporkan koma sejak Jumaat.
Pada awal Ogos, Mafioso menjalani pembedahan usus di Hospital San Salvatore di L’aquila, ia disusuli kanser kolon yang menyebabkan kesihatannya merosot.
Ketua mafia Itali itu ditahan oleh unit polis khas di sebuah klinik kanser di Palermo ketika menjalani rawatan dengan nama palsu.
Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kehadiran kerana peranannya dalam siri pembunuhan kejam dan pengeboman kereta di negara itu.
Dia didapati bersalah atas kes pengeboman kereta 1992 yang membunuh pendakwa anti-mafia Giovanni Falcone dan Paolo Borsellino.