BERLIN: Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara NATO Mark Rutte, yakin bahawa Amerika Syarikat akan kekal dalam perikatan pertahanan itu walaupun Donald Trump menjadi presiden ke-47 negara, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Dalam satu temu bual bersama penyiar awam Jerman, ZDF, pada petang Isnin, Rutte menyuarakan keyakinannya bahawa AS dan calon presiden, Donald Trump serta Kamala Harris berdiri teguh di belakang NATO.
Temu bual ini berlangsung ketika pengundi AS akan memilih presiden baharu pada Selasa.
Rutte menegaskan bahawa kedua-dua parti Republikan dan Demokrat memahami bahawa NATO bukan sahaja penting untuk keselamatan Eropah, tetapi juga untuk keselamatan AS, sambil menambah bahawa setiap presiden harus memastikan keselamatan negara mereka terjamin.
Beliau turut berkata bahawa kedua-dua calon sedar bahawa keselamatan AS berkait rapat dengan NATO.
Kenyataan Trump pada masa lalu pernah menimbulkan keraguan mengenai sama ada AS di bawah kepimpinannya akan mematuhi sepenuhnya komitmen perikatan untuk mempertahankan sesama ahli. Trump juga pernah mengancam untuk menarik AS keluar daripada NATO.
Rutte, bekas perdana menteri Belanda, mengambil alih peranan Setiausaha Agung NATO pada 1 Okt lalu dan berada di Berlin pada Isnin untuk lawatan sulungnya ke Jerman atas kapasiti itu.
Rutte dikenali sebagai seorang yang cekap dalam berurusan dengan Trump dan dilaporkan mempunyai hubungan yang agak baik dengannya.
Dalam satu pertemuan pada 2019, Trump menyatakan bahawa beliau dan perdana menteri Belanda ketika itu telah menjadi rakan. – BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.