comscore
Tumpuan :
Dunia

Ketua PBB gesa pembaharuan seni bina kewangan global terutama berkaitan hutang

Foto: Reuters

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin menyeru untuk “pembaharuan secara menyeluruh” terhadap seni bina kewangan global dan khususnya pendekatan terhadap hutang, lapor Xinhua.

Beliau membuat rayuan itu pada perbahasan tematik peringkat tinggi mengenai kemampanan hutang dan kesaksamaan sosioekonomi untuk semua, yang menandakan permulaan Minggu Kelestarian Perhimpunan Agung PBB yang pertama.

“Daripada meningkatkan ketelusan hutang, kepada peningkatan pinjaman dalam mata wang tempatan, kepada membangunkan instrumen hutang baharu dan proses penstrukturan semula yang lebih cepat dan adil, kita perlu mencari cara baharu untuk negara meminjam dengan berani dan mampan pada masa yang diperlukan,” katanya.

Terutamanya, terdapat keperluan untuk meningkatkan perwakilan negara membangun di seluruh sistem kewangan antarabangsa dan setiap keputusan yang dibuat, kata ketua PBB. “Suara mereka juga harus didengar. Mereka berhak mendapat peluang itu. Sepatutnya telah lama dilakukan dan ia tidak boleh terus diabaikan.”

Guterres juga meminta usaha untuk menghidupkan Rangsangan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sekurang-kurangnya US$500 bilion setahun dalam pembiayaan bagi negara-negara membangun, yang dipersetujui pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak SDG pada September 2023.

“Kita mesti meningkatkan secara dramatik pembiayaan mampu milik jangka panjang, terutamanya melalui Bank Pembangunan Pelbagai Hala (MDB). Saya memperbaharui gesaan saya untuk permodalan semula MDB dan menyalurkan semula Hak Pengeluaran Khas yang tidak digunakan untuk negara yang memerlukan,” katanya.

Terdapat juga keperluan untuk mencari cara bagi memanfaatkan sejumlah besar modal boleh panggil dimiliki negara pemegang saham MDB yang disimpan di bank-bank pusat, katanya. “Ini bermakna bekerjasama dengan

MDB, bank pusat dan agensi penarafan kredit untuk menghidupkan lebih banyak jumlah pinjaman kos rendah oleh MDB untuk menyokong negara membangun semasa mereka melabur dalam pembangunan.”

“Dan kita mesti pergi lebih jauh dalam menggunakan mekanisme pembiayaan inovatif, seperti bon modal hibrid untuk meningkatkan kapasiti pinjaman dan menarik lebih banyak modal persendirian kepada projek dan mengembangkan saiz dan jangkauan pinjaman. Pada masa yang sama, kita mesti memastikan sebarang pembiayaan konsesi baharu tidak dihabiskan sepenuhnya dalam pembayaran hutang,” kata Guterres.

Beliau mengulangi seruannya kepada pemiutang untuk meneroka jeda hutang bagi negara-negara yang rentan, mendesak institusi kewangan antarabangsa untuk membantu negara-negara menyusun semula hutang mereka untuk mewujudkan ruang bagi pelaburan segera dan menggesa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menggantung sementara surcaj kadar faedah pada masa ini yang kekurangan kecairan yang mencukupi.

“Negara membangun perlukan bantuan atau sokongan untuk membantu mereka keluar daripada masalah hutang,” katanya.

Walaupun sistem kewangan global mengalami masalah dan kerosakan, ia masih boleh diperbaiki. Dunia tidak boleh meneruskan amalan buruk yang menyebabkan negara-negara membangun terperangkap dalam hutang yang semakin meningkat tanpa henti, kata Guterres. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini