comscore
Tumpuan :
Dunia

Ketua Penjara Filipina dituduh arah pembunuhan wartawan

Aktivis menyalakan lilin pada acara mengutuk pembunuhan wartawan penyiaran, Percival Mabasa, di Quezon, Filipina. – FOTO: AP

MANILA: Polis Filipina mendakwa ketua penjara negara itu bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan seorang wartawan radio terkemuka, yang kematiannya mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Personaliti radio, Percival Mabasa, 63, yang menggunakan nama ‘Percy Lapid’ dalam programnya, ditembak mati di pinggir bandar Manila pada 3 Oktober lalu ketika sedang memandu ke studionya.

Polis memfailkan aduan pembunuhan terhadap Ketua Pengarah Biro Penjara, Gerald Bantag, yang kini digantung tugas serta timbalan pegawai keselamatannya, Ricardo Zulueta.

Lelaki bersenjata yang didakwa, Joel Escorial, menyerah diri kepada pihak berkuasa bulan lalu berikutan bimbang keselamatannya selepas polis menyiarkan wajahnya daripada rakaman keselamatan, kata pegawai sebelum ini.

Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Benjamin Abalos Jr (kanan) bersama Setiausaha Kehakiman, Crispin Remulla (kiri) pada sidang media mengumumkan suspek pembunuhan wartawan penyiaran, Percival Mabasa, di Manila. – FOTO: AFP

“Dia mungkin akan menjadi pegawai tertinggi di negara ini yang pernah didakwa dengan kes sebesar ini,” kata Setiausaha Kehakiman, Crispin Remulla.

Bantag didakwa mengarahkan pembunuhan Mabasa susulan ‘pendedahan berterusannya mengenai bekas presiden dalam rancangannya’, kata Biro Siasatan Kebangsaan, Eugene Javier, kepada wartawan menerusi satu kenyataan.

Bantag dan Zulueta turut didakwa mengarahkan pembunuhan Cristito Villamor Palana, seorang banduan penjara yang didakwa menyampaikan perintah pembunuhan kepada Escorial, yang kemudian mendedahkan identiti Palana kepada pihak polis.

Palana ditekup hingga lemas dengan beg plastik oleh ahli kumpulannya sendiri, kata Javier. Aduan jenayah juga difailkan terhadap 10 banduan.

Pendakwa raya di Jabatan Kehakiman akan memutuskan sama ada terdapat cukup bukti untuk memfailkan pertuduhan di mahkamah.

Mabasa adalah seorang pengkritik lantang terhadap bekas presiden, Rodrigo dan dasar serta pembantu penggantinya, Ferdinand Marcos.

Dia juga mengkritik amalan ‘red tagging’ – perbuatan menuduh seseorang sebagai penyokong komunis, serta operasi perjudian dalam talian dan penyebaran maklumat salah mengenai undang-undang tentera.

Dia adalah wartawan kedua yang dibunuh sejak Marcos memegang jawatan pada 30 Jun lalu.

Filipina berada di kedudukan pertama negara paling berbahaya di dunia untuk wartawan, namun pembunuhan sebegitu jarang berlaku di Manila.

Javier berkata, siasatan ke atas pembunuhan itu mendedahkan ‘pembabitan kerajaan menubuhkan pertubuhan jenayah’.

“Ini akan menjadi punca kepada banyak pembaharuan dalam kerajaan dan pengukuhan mekanisme semasa untuk memastikan tiada perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi,” katanya sambil menyifatkan ia sebagai ‘perang mencegah pesalah terlepas daripada hukuman’. – BERITA HARIAN / AFP

Loading...
Terkini