comscore
Tumpuan :
Dunia

Kim Jong-un arah tentera laut diperkasa

FOTO: Reuters

PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menekankan negara itu perlu memperkuat keupayaan tentera laut bagi melindungi perairannya.

Perkara itu ditegaskan ketika melawat tapak pembinaan pangkalan tentera laut, lapor media negara KCNA.

Tambahnya, dalam masa terdekat, republik itu bakal memiliki kapal perang besar dan kapal selam, yang tidak boleh berlabuh di kemudahan sedia ada yang tidak setara dengannya.

Justeru, pembinaan pangkalan tentera laut ini adalah untuk mengendalikan kapal perang lebih besar dan canggih yang disifatkan kini menjadi keperluan mendesak.

Ketika lawatan itu juga, Jong-un menekankan keperluan untuk membina pelabuhan tentera laut yang mampu mengoperasikan sistem senjata kapal perang.

FOTO: Reuters

Beliau juga menggariskan langkah-langkah ketenteraan, antaranya untuk memasang sistem pertahanan udara dan pertahanan pantai untuk melindungi pelabuhan.

Katanya lokasi tapak itu mempunyai kelebihan geopolitik sebagai titik strategik bagi sebuah negara yang dikeliling perairan rantau timur dan barat.

Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak menyatakan dengan jelas lokasi tapak pembinaan pelabuhan itu.

Berdasarkan imej satelit terbaru oleh 38 North, ia menunjukkan kapal selam peluru berpandu balistik kelas terbaharu (SSB) Korea Utara dikenali Sinpo-C sedang menjalani tempoh penyesuaian meluas di Limbungan Sinpho Selatan.

Dalam lawatan berasing ke sebuah limbungan kapal, Jong-un mengarahkan pelaburan negara dalam projek pembinaan kapal ditingkatkan.

Katanya, ia bagi membolehkan tindakan segera dan perancangan jangka panjang untuk meletakkan asas bagi pembangunan industri pembinaan kapal dapat diteruskan seperti mana dijadualkan.

Hari ini, KCNA juga melaporkan mengenai lawatan Jong-un ke sebuah perusahaan industri pertahanan, di mana beliau menekankan keperluan untuk menjadikan pengeluaran senjata lebih saintifik dan moden.

Beliau, yang turut melawat sebuah akademi artileri, menegaskan pendekatan itu penting bagi menjamin prestasi peralatan ketenteraan yang akan dibangunkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini