comscore
Tumpuan :
Dunia

Kit ujian COVID-19 laris di Singapura

SINGAPURA: Kit ujian pantas (ART) antigen COVID-19 semakin laris dijual di banyak farmasi sejak Ahad lalu selepas berita tersebar bahawa Singapura sedang menghadapi gelombang baharu virus itu.

Rangkaian kedai Watsons adalah antara yang menyaksikan lonjakan permintaan untuk kit ujian COVID-19 lebih 150 peratus pada minggu lalu, kata Pengarah Urusan Watson Singapura, Irene Lau.

Kes COVID-19 melonjak dalam dua minggu kebelakangan ini,kesan sub-varian COVID-19, yang digelar saintis sebagai ‘FLiRT’, dengan mengambil huruf awalan dalam nama mutasi virus berkenaan.

Pada peringkat global, varian JN.1 dan sub-variannya termasuk KP.1 dan KP.2, kekal sebagai varian COVID-19 dominan.

Peratusan gabungan KP.1 dan KP.2 kini menyumbang lebih daripada dua pertiga daripada kes di Singapura.

Sehingga 3 Mei lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan KP.2 sebagai varian di bawah pemantauan.

Pada masa ini, tiada petunjuk secara global atau tempatan, bahawa KP.1 dan KP.2 lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit lebih teruk daripada varian lain yang sedang tersebar.

Kira-kira 80 peratus daripada penduduk tempatan Singapura sudah melengkapkan dos awal atau tambahan vaksin COVID-19 masing-masing, tetapi tidak menerima tambahan dos dalam tempoh tahun lalu, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Pada 18 Mei lalu, Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, menggesa golongan paling berisiko menghidap penyakit teruk, termasuk mereka berusia 60 tahun ke atas, untuk menerima satu lagi dos vaksin COVID-19, jika mereka tidak mendapatkannya dalam tempoh setahun lalu.

Beliau berkata, Singapura menyaksikan peningkatan kes jangkitan dalam tempoh dua minggu lalu dengan gelombang itu dijangka memuncak dalam dua hingga empat minggu akan datang.

Anggaran jumlah kes COVID-19 pada minggu antara 5 hingga 11 Mei meningkat kepada 25,900 kes berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.

Purata kemasukan harian COVID-19 di hospital meningkat kepada kira-kira 250 pesakit daripada 181 pesakit pada minggu sebelumnya. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini