
SEOUL: Pasukan perubatan Korea Selatan berjaya menjalankan pembedahan pemindahan rahim, yang pertama di negara itu ke atas seorang wanita berusia 35 tahun yang dilahirkan dengan rahim yang tidak berfungsi.
Pasukan pelbagai disiplin dari Pusat Perubatan Samsung itu menjalankan pembedahan berkenaan Januari lalu dengan rahim daripada penderma yang telah meninggal dunia dan mengisytiharkan prosedur itu berjaya selepas pesakit berada dalam keadaan stabil selama lebih 10 bulan.
Pesakit itu didiagnosis dengan sindrom Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser, satu keadaan yang menjejaskan kira-kira satu daripada 5,000 wanita ketika lahir dengan keadaan rahim yang kurang berkembang atau tiada rahim.
Pesakit itu, sebelum ini menjalani satu pemindahan rahim, namun gagal.
Bagi kedua-dua pesakit dan pasukan perubatan, pembedahan itu sendiri hanyalah separuh daripada perjuangan mereka.
Walaupun hasil pemindahan itu menjanjikan harapan, kejayaan pemindahan rahim ditentukan bukan saja dengan penerimaan organ, malahan juga kelahiran bayi yang sihat.
Pemindahan rahim bukan bertujuan untuk ia kekal, sebaliknya akan dikeluarkan melalui pembedahan selepas satu atau dua kehamilan bagi mengelakkan pesakit bergantung kepada ubat imunosupresif, yang diperlukan untuk menghalang tubuh daripada menolak rahim yang dipindahkan.
Pemindahan rahim masih dianggap sebagai eksperimen di seluruh dunia.
Pemindahan rahim pertama yang berjaya membawa kelahiran bayi yang sihat dilakukan di Sweden pada 2014.
Pasukan perubatan di beberapa negara lain, termasuk Britain, Jerman dan India juga berjaya menjalankan pemindahan berkenaan.
Selain keunikan pembedahan, ia juga adalah prosedur yang mahal dan tidak dilindungi polisi Insurans Kesihatan Nasional Korea Selatan.