comscore
Tumpuan :
Dunia

Korea Selatan, Ecuador mulakan pusingan baharu perjanjian dagangan dua hala

Pelabuhan terbesar Korea Selatan di Busan. – Foto: AFP

SEOUL: Korea Selatan dan Ecuador memulakan rundingan pusingan kelapan mengenai pembentukan perjanjian perdagangan bebas dua hala, lapor Yonhap memetik kementerian perdagangan.

Kedua-dua negara melancarkan rundingan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Strategik (SECA) iaitu pakatan perdagangan bebas pada 2016 dan lima pusingan rundingan telah berlangsung pada tahun itu.

Pusingan keenam rundingan berlangsung pada Julai tahun ini selepas terhenti selama enam tahun.

Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga memaklumkan, rundingan terbaharu akan berlangsung hingga Jumaat di Quito, Ecuador.

Kedua-dua pihak berusaha untuk mempercepatkan rundingan demi mencapai perjanjian membabitkan pelbagai isu, termasuk barangan perkilangan, perkhidmatan, dan perolehan serta cara untuk meningkatkan rantaian bekalan tenaga dan mineral utama, menurut kementerian itu.

Negara Amerika Selatan itu kaya dengan sumber semula jadi, seperti tembaga, zink, dan emas.

Sekiranya perjanjian itu dicapai, Korea Selatan akan menjadi negara Asia pertama yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Ecuador.

Menurut data kerajaan, Ecuador ialah destinasi eksport utama keenam Korea Selatan dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$968 juta pada 2021. – BERNAMA

Loading...
Terkini