comscore
Tumpuan :
Dunia

Korea Selatan rayu doktor kembali berkhidmat

FOTO: Reuters

SEOUL: Korea Selatan menggesa doktor pelatih kembali berkhidmat sebelum Jumaat ini bagi mengelak tindakan tatatertib terhadap mereka.

Ketika ini, kumpulan berkenaan memenuhi jalan raya sekitar Seoul menyatakan bantahan terhadap pembaharuan polisi perubatan yang memasuki minggu kedua.

Ribuan doktor muda bertindak meletak jawatan dan tidak hadir bertugas sebagai protes kepada rancangan kerajaan meningkatkan kemasukan ke sekolah perubatan secara mendadak bagi mendepani kekurangan kakitangan serta masyarakat yang semakin tua.

FOTO: Reuters

Pemberhentian kerja besar-besaran itu mengakibatkan pembatalan dan penangguhan pembedahan untuk pesakit kanser dan ‘C-section’ untuk wanita hamil, malah kerajaan meningkatkan amaran kesihatan awam ke tahap tertinggi akibat implikasi yang bakal dihadapi nanti.

Doktor dianggap sebagai pekerja penting di Korea Selatan dan dilarang oleh undang-undang untuk mengadakan mogok.

Agensi berita Yonhap melaporkan, kerajaan berulang kali mendakwa peletakan jawatan besar-besaran itu menyalahi undang-undang dan mengancam untuk mengambil tindakan perundangan terhadap mereka yang terbabit atau membatalkan lesen perubatan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min ketika mesyuarat pengurusan krisis, berkata kerajaan juga membuat ‘rayuan terakhir’ untuk golongan itu kembali betugas minggu ini.

Beliau turut memberi jaminan, sesiapa yang kembali bekerja selewat-lewatnya pada 29 Februari, tidak akan didakwa atas keculasan tanggungjawab professional mereka.

FOTO: Reuters

Sejak minggu lalu, hospital di seluruh Korea bergelut dengan kekurangan doktor.

Media tempatan juga melaporkan, lebih ramai doktor termasuk felo dan lulusan pengajian perubatan mula menyertai protes itu.

Seoul mempunyai nisbah doktor kepada penduduk yang paling rendah dalam kalangan negara maju dan mulai tahun hadapan, kerajaan berusaha keras memastikan seramai 2,000 lagi pelajar ke sekolah perubatan setiap tahun.

Bagaimanapun, doktor menyuarakan tentangan hebat terhadap rancangan kerajaan itu dan mendakwa ia akan menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini