comscore
Tumpuan :
Dunia

Korea Utara tuduh Korea Selatan ceroboh ruang udara Pyongyang guna dron

Gambar dron yang terhempas di Pyongyang didakwa milik Korea Selatan. FOTO: Reuters

PYONGYANG: Korea Utara mendakwa tentera Korea Selatan melanggar kedaulatan negaranya melalui pencerobohan dron di ruang udara Pyongyang, yang dikatakan bertujuan menyebarkan risalah propaganda.

Dakwaan itu dilaporkan oleh agensi berita kerajaan Korea Utara, KCNA, yang menyifatkan tindakan itu sebagai ancaman serius terhadap kedaulatan negara.

Menurut KCNA, Korea Utara mendakwa dron dari Korea Selatan telah memasuki ruang udara Pyongyang sekurang-kurangnya tiga kali bulan ini. Berdasarkan laporan pihak berkuasa Korea Utara, mereka telah menemui lebih 230 rancangan penerbangan dan rekod log dron tersebut sejak Jun 2023 melalui analisis program kawalan penerbangannya.

Dalam satu rekod pada 8 Oktober menunjukkan dron tersebut berlepas dari Pulau Baengnyeongdo di sempadan selatan lewat malam dan dilaporkan melepaskan risalah di atas bangunan Kementerian Luar Negeri dan Pertahanan di Pyongyang beberapa jam kemudian.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tuduhan tersebut dan menyatakan bahawa dakwaan dari Pyongyang tidak layak untuk disahkan.

Ketegangan antara kedua-dua negara kini semakin memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan peningkatan aktiviti ketenteraan dan latihan perang oleh kedua-dua pihak.

Korea Utara telah beberapa kali melancarkan ujian peluru berpandu yang dianggap sebagai amaran kepada Korea Selatan dan sekutunya, Amerika Syarikat.

Sebagai tindak balas, Korea Selatan meningkatkan kerjasama keselamatan dengan AS dan menjalankan latihan ketenteraan bersama di kawasan berdekatan sempadan kedua-dua negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini