comscore
Tumpuan :
Dunia

Kuasa dunia tawar bantuan kemanusiaan kepada Turkiye, Syria

Foto AP

PERANCIS: Gempa bumi dashyat mengorbankan lebih 2,300 orang di Turkiye dan Syria menggesa tindakan pantas negara di seluruh dunia untuk menghantar bantuan dan pasukan penyelamat.

Negara seluruh Eropah, Asia, Timur Tengah, dan Amerika Utara berikrar menghantar bantuan dan sokongan.

Kesatuan Eropah (EU) menggerakkan 10 pasukan mencari dan menyelamat selepas Turkiye meminta bantuan.

Menurut Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell dan Pesuruhjaya Pengurusan Krisis, Janez Lenarcic, sistem satelit Copernicus diaktifkan untuk menyediakan perkhidmatan pemetaan kecemasan.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bertafakur selama seminit sebagai memberi penghormatan kepada mangsa.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata pasukan mereka berada di lapangan bagi menilai keperluan dan memberikan bantuan.

Dua pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India yang terdiri daripada 100 anggota bersama skuad anjing dan peralatan, kini bersedia untuk diterbangkan ke kawasan terjejas.

Perdana Menteri, Narendra Modi menzahirkan kesedihan atas kematian di Turkiye, walaupun mempunyai hubungan dingin dengan India dan Syria.

Jerman yang mempunyai kira-kira tiga juta penduduk asal Turkiye, akan menggerakkan semua bantuan yang boleh diaktifkan.

Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser, berkata Agensi Persekutuan Jerman bagi Bantuan Teknikal boleh menubuhkan kem untuk menyediakan tempat perlindungan serta unit rawatan air.

Presiden Vladimir Putin berjanji menghantar pasukan Russia ke kedua-dua negara melalui panggilan telefon dengan Bashar al-Assad dari Syria dan Recep Tayyip Erdogan dari Turkiye.

Kementerian pertahanan berkata, 300 anggota tentera yang ditempatkan di Syria sedang membantu dengan usaha pembersihan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata bahawa negaranya yang dilanda perang bersedia untuk memberi bantuan yang diperlukan untuk mengatasi akibat bencana itu.

Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, yang mempunyai beberapa pertikaian sempadan dan budaya, berjanji untuk menyediakan setiap pasukan untuk membantu jirannya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau meluluskan penghantaran bantuan ke Syria selepas menerima permintaan melalui saluran diplomatik.

Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg menyuarakan “perpaduan penuh” dengan sekutu Turkiye. Kini, sekutu NATO sedang menggerakkan sokongan.

Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, yang usahanya untuk menyertai NATO ditentang Turkiye, menghantar ucapan “takziah” dan bersedia menawarkan sokongan kepada Erdogan.

Sementara itu, anggota bomba Poland terbang dari Warsaw ke bandar Gaziantep di Turkiye.

Ketua komandan perkhidmatan bomba negeri, Andrzej Bartkowiak, berkata pasukannya akan bekerja tanpa henti, 24 jam sehari, di dua lokasi.

Qatar akan menghantar 120 pekerja penyelamat ke Turkiye, bersama hospital lapangan, bantuan kecemasan, khemah dan bekalan musim sejuk.

Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan menawarkan bantuan dalam panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Syria dan Turkiye.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menerusi ciapan di laman Twitternya: “Hati kami bersama mereka yang kehilangan orang tersayang. Kanada bersedia untuk memberikan bantuan.”

Presiden Emmanuel Macron berkata, Perancis bersedia memberikan bantuan kecemasan kepada Turkiye dan Syria. – AFP

Loading...
Terkini