comscore
Tumpuan :
Dunia

Kumpulan ajaran sesat Filipina paksa kanak-kanak lakukan hubungan seks

Jane (bukan nama sebenar) 15, memberi keterangan mengenai pengalamannya dalam kumpulan ajaran sesat Socorro Bayanihan Services Inc (SBSI) kepada Jawatankuasa Senat Filipina. – Foto AGENSI

MANILA: Anggota bawah umur kumpulan ajaran sesat, Socorro Bayanihan Services Inc (SBSI) di Filipina mendakwa dipaksa berkahwin dan melakukan hubungan seks dengan pasangan dewasa atas alasan kononnya ia sebahagian daripada ‘peraturan ke syurga’.

Perkara itu didedahkan ketika siasatan Jawatankuasa Senat Filipina mengenai peraturan awam dan dadah berbahaya semalam, susulan tuduhan terhadap ketua ajaran sesat itu, Jey Rence Quilario, juga dikenali sebagai ‘Senior Agila’.

Seorang bekas ahli berusia 15 tahun, Jane (bukan nama sebenar) ketika memberi keterangan di hadapan penggubal undang-undang  mendakwa pergerakan itu  diketuai oleh ‘Senior Agila’ selaku ketua ‘kultus’ yang berpangkalan di Surigao del Norte.

Mengimbau kembali peristiwa yang terjadi tahun lalu, Jane berkata, pada usia 14 tahun, dia dipaksa berkahwin dan tidur dengan lelaki berusia 18 tahun yang tidak pernah dikenalinya dan mendakwa Quilario yang menjodohkan mereka.

Pemimpin kumpulan ajaran sesat Socorro Bayanihan Services Inc (SBSI), Jey Rence Quilario, juga dikenali sebagai ‘Senior Agila’, memberi keterangan kepada Jawatankuasa Senat Filipina. – Foto: AGENSI

Dakwanya, setiausaha komuniti mereka akan membuat senarai ahli yang bujang dengan kanak-kanak perempuan seawal 12 tahun dan lelaki sekurang-kurangnya 18 tahun.

Daripada senarai itu, Quilario akan memilih ‘pasangan yang diluluskan oleh tuhan’.

Dengan bantuan penterjemahan peguamnya, Ruth Restauro, remaja berbahasa Bisaya itu turut mendedahkan,  Quilario mewajibkan setiap ahli  mempunyai pasangan dan melakukan hubungan seks selepas berkahwin kerana ia undang-undang SBSI untuk mendapat tempat di syurga.

“Kanak-kanak perempuan dipaksa melakukan hubungan seks dengan lelaki itu dalam masa tiga hari atau mereka akan dipanggil ‘adios’,” kata remaja itu dalam bahasa Bisaya.

Jane seterusnya mendedahkan, Quilario menyamakan peraturan itu seperti Sitio Kapihan – didakwa ahli kultus yang percaya bahawa makhluk atau haiwan mesti wujud secara berpasangan.

Dia berkata ahli SBSI yang tidak taat dikenakan pelbagai hukuman antara lain mungkin dipukul dengan dayung atau dikurung dalam apa yang dipanggil lubang musang.

Dakwanya, Quilario juga memutarkan permainan seperti ‘roulette’, untuk menentukan pelbagai hukuman.

Kegiatan SBSI didedahkan Senator Risa Hontiveros pada 18 September lalu dengan membangkitkan nasib ahli muda yang didakwa mengalami keganasan seksual dan dipaksa berkahwin dengan orang dewasa. – AGENSI

Loading...
Terkini