
MOSCOW: Ukraine melancarkan serangan di Sevastopol menggunakan sepuluh peluru berpandu jelajah serta menyerang kapal Armada Laut Hitam Rusia menggunakan bot dron, manakala pertahanan udara Rusia berjaya memusnahkan tujuh roket dan kapal peronda Vasily Bykov memusnahkan semua bot dron berkenaan, lapor Sputnik.
“Pertahanan udara memusnahkan tujuh peluru berpandu jelajah, dan kapal peronda Vasily Bykov memusnahkan semua bot dron. Serangan peluru berpandu jelajah itu mengenai limbungan kapal, dua kapal yang sedang dibaikpulih, mengalami kerosakan,” menurut Kementerian Pertahanan Rusia pada Rabu.
Pengangkutan penumpang maritim Sevastopol seperti kapal dan feri beroperasi seperti biasa, menurut jabatan pengangkutan tempatan.
Terdahulu pada Rabu, Gabenor Sevastopol Mikhail Razvozhaev berkata bahawa serangan tentera Ukraine semalam ke atas bandar itu telah mengakibatkan 24 orang cedera. – BERNAMA-SPUTNIK