
CANBERRA: Para penyelidik Australia mereka bentuk ladang laut terapung (floating sea farm) yang mampu menghasilkan air tawar untuk tujuan minuman dan pertanian, lapor Xinhua.
Dalam kajian yang diterbitkan pada Isnin, pasukan dari Institut Industri Masa Depan di Universiti Australia Selatan (UniSA) menjelaskan sistem berkuasa solar boleh membantu menangani masalah kekurangan air tawar global yang semakin meningkat.
Menurut kajian, sistem itu menyejat air laut dan mengitar semula wap air hingga menjadi air tawar menggunakan dua ruang; lapisan atas yang serupa dengan sistem rumah hijau dan lapisan bawah untuk menuai air, yang kemudiannya mengalami tindak balas kondensasi dan dipindahkan ke ruang pertumbuhan tanaman.
Dalam ujian lapangan, penyelidik Haolan Xu dan Gary Owens berjaya menggunakan ladang terbabit untuk penanaman brokoli, salad dan pak choi di permukaan air laut tanpa sebarang penyelenggaraan atau pengairan tambahan.
Owens dalam satu kenyataan berkata bahawa langkah seterusnya adalah untuk meningkatkan kapasiti reka bentuk ladang laut berkenaan.
“Adalah tidak mustahil suatu hari nanti, anda mungkin akan melihat “biodome” petani terapung di lautan, atau beberapa peranti yang lebih kecil digunakan di kawasan laut yang luas,” katanya. – BERNAMA-XINHUA