comscore
Tumpuan :
Dunia

Lagi belon China dikesan di Taiwan menjelang pilihan raya

FOTO: Reuters

TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan pada Khamis berkata tiga lagi belon China dikesan pada Rabu selepas ia melintasi garisan median Selat Taiwan dengan satu daripadanya terbang melintasi pulau Taiwan.

Menurut kementerian, ini adalah hari ketiga berturut-turut belon China dikesan melintasi sempadan tidak rasmi yang memisahkan Taiwan dan China.

Sebanyak tiga belon yang dilihat pada petang Rabu itu terbang antara 4,572 kilometer (km) dan 10,923 km masing-masing ke utara dan tengah Taiwan.

Sejak Isnin, Taiwan mengesan sembilan belon China terapung di atas Taiwan dan lima daripadanya terbang melintasi pulau Taiwan.

Taiwan berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap aktiviti China, sama ada dari sudut ketenteraan dan politik menjelang pilihan raya presiden dan Parlimen pada 13 Jan.

Felow penyelidik di Institut Penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan Negara Taiwan Su Tzu-yun, memaklumkan Agensi Berita Jerman (dpa) bahawa melepaskan belon untuk mengganggu Taiwan juga merupakan taktik zon kelabu yang dilakukan oleh China, selain menghantar pesawat perang dan kapal tentera laut di sekitar Taiwan.

“China sengaja mengambil kesempatan daripada aliran udara barat daya untuk melepaskan belon cuaca, menjadikannya terbang melintasi pulau Taiwan untuk menakut-nakutkan rakyat Taiwan sebelum pilihan raya,” kata Su.

Su berkata saiz belon Cina yang dikesan oleh Taiwan adalah seperti belon cuaca. Ia bukan seperti belon China yang lebih besar dan boleh membawa peranti yang lebih berat yang sebelum ini dikesan oleh Amerika Syarikat.

Beliau berkata ketinggian belon yang dikesan oleh Taiwan mungkin boleh menjejaskan keselamatan penerbangan.

Jet pejuang China terbang hampir setiap hari ke zon pertahanan udara Taiwan yang memerlukan Taiwan bertindak balas.

Taiwan mempunyai kerajaan bebas sejak 1949 tetapi China menganggap pulau yang diperintah sendiri sebagai wilayahnya. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini