comscore
Tumpuan :
Dunia

Lanjutan 2 hari henti perang tidak cukup untuk penuhi keperluan bantuan di Gaza – PBB

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. FOTO: REUTERS

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran tempoh lanjutan dua hari pemberhentian perang masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan bantuan di Semenanjung Gaza.

Guterres menyifatkan lanjutan jeda kemanusiaan yang diumumkan Qatar sebagai pengantara sebagai ‘sekilas harapan dan kemanusiaan’.

“Saya amat berharap bahawa lanjutan ini diteruskan lagi supaya kita dapat meningkatkan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza yang amat menderita kini.

“Namun dengan lanjutan dua hari mustahil kita dapat memenuhi semua keperluan penduduk penduduk Gaza yang amat mendesak,” katanya kepada wartawan.

PBB telah menghantar sejumlah bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah dari Mesir.

Pertubuhan antarabangsa itu juga berharap dapat menggunakan pintu sempadan Kerem Shalom yang dikawal oleh Israel bagi tujuan sama.

Terdahulu, jurucakap Guterres, Stephane Dujarric berkata rundingan harus diteruskan dengan matlamat mengubah gencatan senjata sementara di Gaza menjadi gencatan senjata kemanusiaan sepenuhnya.

“PBB akan terus menyokong usaha ini dengan segala cara yang mungkin,” kata Dujarric dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PBB meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza selama empat hari terakhir ketika jeda kemanusiaan dan menghantar bantuan ke beberapa kawasan utara yang telah terputus hubungan selama berminggu-minggu.

“Tetapi bantuan ini hampir tidak mencukupi berbanding dengan keperluan besar 1.7 juta orang yang terpinggir. Bencana kemanusiaan di Gaza semakin teruk dari hari ke hari,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini