COLOMBO: Mungkin kedengaran asing, namun hakikatnya Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa di Sri Lanka mendapat julukan lapangan terbang paling senyap di dunia biarpun terletak hanya kira-kira empat jam perjalanan dari ibu kota Colombo.
Terletak di Hambantota, lapangan terbang itu dikatakan unik dengan hanya tujuh orang yang melalui terminalnya pada hari-hari biasa.
Lokasinya dikelilingi oleh hutan dan kampung-kampung kecil yang menempatkan pejabat penyewaan teksi dan sebuah hotel, lapor sebuah portal antarabangsa.
Ia mula dibuka lebih dari satu dekad lalu iaitu pada tahun 2013 oleh presiden ketika itu, Mahinda Rajapaksa.
Semasa kempen presiden beliau, Rajapaksa membelanjakan £159 juta (RM721 juta) untuk pembinaan lapangan terbang itu.
Sebahagian besar kemudahannya dibiayai oleh China, sebagai sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Jalan.
Inisiatif itu merupakan strategi pembangunan infrastruktur global yang diguna pakai oleh kerajaan China pada 2013 untuk melabur di lebih 150 buah negara dan organisasi antarabangsa.
Lapangan terbang itu pada asalnya dirancang untuk mempunyai infrastruktur lain di sekelilingnya bagi membolehkan Sri Lanka yang terpencil memanfaatkan ribuan pelancong dari barat dan Asia.
Bagaimanapun, perancangan itu belum lagi menjadi realiti sehingga setakat ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.