comscore
Tumpuan :
Dunia

Laporan Amnesty: Jumlah hukuman mati di seluruh dunia naik 53 peratus pada 2022

BERLIN: Jumlah keseluruhan hukuman mati yang diketahui dilaksanakan di seluruh dunia pada 2022 meningkat sebanyak 53 peratus berbanding angka yang direkodkan untuk 2021, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut laporan Amnesty International mengenai penggunaan hukuman mati di seluruh dunia yang dikeluarkan pada Selasa, terdapat sekurang-kurangnya 883 hukuman mati di 20 negara tahun lalu, angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana beribu-ribu hukuman mati di China “dirahsiakan.” Kerahsiaan di Korea Utara dan Vietnam, bersama dengan akses terhad kepada maklumat di beberapa negara lain, terus menghalang penilaian lebih lengkap mengenai penggunaan hukuman mati.

Amnesty berkata, 90 peratus daripada hukuman mati yang diketahui dunia tahun lalu dilaksanakan oleh hanya tiga negara: Iran, Arab Saudi dan Mesir.

Jumlah hukuman mati yang direkodkan di Iran meningkat daripada 314 pada 2021 kepada 576 pada 2022, katanya. Di Arab Saudi, angka itu meningkat tiga kali ganda daripada 65 pada 2021 kepada 196 tahun lalu, angka tertinggi yang dicatatkan oleh Amnesty untuk negara itu dalam tempoh 30 tahun.

Enam negara memansuhkan hukuman mati sepenuhnya atau sebahagiannya tahun lalu, menurut laporan itu.

Bagaimanapun, hukuman mati diteruskan di lima negara pada 2022 iaitu Afghanistan, Kuwait, Myanmar, Palestin dan Singapura, menurut laporan itu.

Lebih satu pertiga daripada hukuman mati yang direkodkan di dunia pada 2022 adalah bagi kesalahan dadah, satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas, kata Amnesty. -BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini