
JAKARTA: Gempa bumi kuat berukuran 7 pada skala Richter melanda kawasan laut dalam ke utara pulau Bali dan Lombok di Indonesia awal pagi tadi, menurut Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean Seismological Centre (EMSC).
Pusat gegaran ialah 203 kilometer (km) ke utara Mataram, Indonesia, dan sangat dalam iaitu 516km di bawah permukaan bumi, namun ia menyebabkan gegaran sehingga penduduk yang terjejas segera meninggalkan premis masing-masing.
Dalam pada itu, agensi geologi Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) merekodkan gegaran berukuran 7.1 tetapi tiada ancaman tsunami.
Gegaran terasa sejurus sebelum jam 4 pagi waktu tempatan, merentasi kawasan pantai di Bali dan Lombok serta disusuli dua lagi gempa bumi masing-masing berukuran 6.1 dan 6.5, menurut agensi geologi Indonesia.
Tetamu di Mercure Kuta Bali berlari keluar dari bilik masing-masing selepas terasa gegaran selama beberapa saat, kata pengurus hotel, Suadi, kepada Reuters menerusi telefon.
“Beberapa tetapi meninggalkan bilik mereka tetapi masih berada di premis hotel,” katanya yang turut memaklumkan kesemua kembali ke bilik masing-masing dan bangunan hotel tidak mengalami kerosakan.
Agensi bencana alam Indonesia, Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), berkata tiada laporan mengenai kerosakan diterima setakat ini.
“Pusat gempa terlalu dalam, Jadi, tidak banyak kesan gegaran dijangka,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari. – REUTERS