comscore
Tumpuan :
Dunia

Layanan Taliban terhadap wanita mungkin jenayah terhadap kemanusiaan

Aktivis dari kumpulan feminis Femen, berpakaian burka, memprotes di Berlin terhadap penindasan wanita di Afghanistan selepas pengambilalihan Taliban Ogos tahun lalu. -Foto: AGENSI

GENEVA: Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpendapat layanan Taliban terhadap wanita dan gadis Afghanistan, termasuk pengecualian mereka dari taman dan gim serta sekolah dan universiti, mungkin menyamai jenayah terhadap kemanusiaan.

Penilaian oleh Pelapor Khas PBB mengenai Afghanistan, Richard Bennett dan sembilan pakar PBB yang lain berkata, layanan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan mungkin sama dengan ‘penganiayaan jantina’ di bawah Statut Rom yang mana Afghanistan adalah sebahagian anggotanya.

“Mengurung wanita dalam rumah mereka adalah sama dengan pemenjaraan,” kata pakar dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa ia berkemungkinan membawa kepada peningkatan tahap keganasan rumah tangga dan masalah kesihatan mental.

Pakar itu juga menyebut sebagai contoh penahanan awal bulan ini terhadap aktivis wanita Zarifa Yaqobi dan empat rakan sekerja lelaki, di mana mereka kekal dalam tahanan.

Taliban enggan mengulas lanjut mengenai penilaian pakar PBB itu.

Pada Ogos 2021, Taliban mengambil alih daripada kerajaan yang disokong Barat dan berjanji akan menghormati hak wanita mengikut tafsiran mereka terhadap undang-undang Islam.

Kerajaan Barat berkata, Taliban perlu mengubah haluan mereka mengenai hak wanita termasuk membuka sekolah menengah perempuan untuk ke arah pengiktirafan rasmi kerajaan Taliban.

Dalam pada itu, jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Ravina Shamdasani, menggesa pihak berkuasa Taliban untuk segera menghentikan penggunaan sebatan awam di Afghanistan.

Katanya, pihaknya sudah mendokumentasikan banyak kejadian seumpama itu bulan ini, termasuk seorang wanita dan seorang lelaki disebat masing-masing 39 kali kerana belum berkahwin dan menghabiskan masa bersendirian bersama. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini