comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Lebih 120 mayat rakyat Palestin dijumpai dua hari selepas tentera Israel tinggalkan Kem Jabalia

GAZA: Lebih daripada 120 mayat rakyat Palestin telah dijumpai daripada runtuhan, dua hari selepas tentera Israel meninggalkan Kem Jabalia di utara Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

Sumber perubatan di Hospital Kamal Adwan memberitahu Anadolu bahawa kru kecemasan dan pasukan pertahanan awam telah menjumpai lebih daripada 120 mayat rakyat Palestin dari jalan-jalan yang musnah dan di bawah runtuhan bangunan di Kem Jabalia ketika kerja-kerja membersihkan sampah dan runtuhan masih diteruskan.

FOTO: Reuters

Pada Jumaat, tentera Israel mengisytiharkan tamatnya serangan mereka di kawasan Jabalia selepas 20 hari.

Di tengah-tengah dakwaan bahawa Tel Aviv menyembunyikan angka korban yang tepat, serangan itu juga telah meragut nyawa 10 askar Israel.

Sebahagian penduduk Palestin kembali ke Kem Jabalia sebaik mereka mendapat maklumat tentera Israel sudah meninggalkan kem pelarian itu. – FOTO: Reuters

Hampir 36,400 rakyat Palestin maut di Gaza sejak Israel memulakan serangan hampir lapan bulan lepas.

Majoriti yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak, dengan lebih daripada 82,400 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

FOTO: Reuters

Sebahagian besar Gaza dalam keadaan musnah di tengah-tengah sekatan Israel yang menghalang bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan keputusan terbaharunya mengarahkan Israel supaya segera menghentikan operasi di Rafah, di mana lebih daripada 2.3 juta rakyat Palestin mencari perlindungan daripada serangan. – BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini