comscore
Tumpuan :
Dunia

Lebih 14,000 ditahan terlibat kes penipuan dalam talian di Thailand

Foto hiasan

BANGKOK: Operasi pihak berkuasa Thailand bagi membanteras penipuan dalam talian bermula 1 Oktober 2023, hingga 30 April 2024 menyaksikan penahanan lebih 14,000 suspek yang terbabit dalam jenayah itu.

Timbalan jurucakap Polis Diraja Thailand, Mejar Jeneral Siriwat Depor, memberitahu media pihak berkuasa telah menyiasat dan memerangi jenayah melibatkan teknologi secara intensif.

Langkah itu berikutan arahan daripada Perdana Menteri, Srettha Thavisin dan pemangku Ketua Polis Negara, Jeneral Kittirat Panpet, yang mahu polis Thailand membanteras aktiviti jenayah membabitkan teknologi.

Usaha polis membuahkan hasil yang besar dalam tiga bidang utama iaitu penipuan pusat panggilan, rangkaian penipuan pelaburan dan operasi haram perjudian dalam talian, dengan 14,826 suspek ditahan.

Dengan kerjasama Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBTC), polis turut menyiasat pemasangan haram peralatan penghantaran isyarat di sepanjang sempadan.

Peranti ini digunakan oleh penjenayah untuk memudahkan aktiviti haram yang berterusan dan operasi yang dijalankan berjaya membawa kepada rampasan peralatan.

Antara 1 November 2023 dan 30 April 2024, pihak berkuasa berjaya membekukan aset 4.56 bilion baht (RM57 juta).

Kerjasama dengan Pejabat Anti Pengubahan Wang Haram (AMLO) Thailand pula diselaraskan untuk memastikan dana rampasan yang diperoleh dikembalikan kepada mangsa.

Orang ramai digesa untuk sentiasa mengambil tahu mengenai pelbagai jenis jenayah mengikut perkembangan semasa bagi melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini