Tumpuan :
Dunia

Lebih 14,700 terbunuh dalam perang Israel-Palestin yang berterusan

Penduduk Palestin mencari mangsa di lokasi serangan pengganas Israel ke atas kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza, 31 Oktober. – Foto: Reuters

GAZA: Jumlah kematian akibat perang Israel-Palestin yang berterusan telah melebihi 14,700 menurut data rasmi yang dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak.

Pejabat media Hamas berkata, lebih 13,300 orang di Semenanjung Gaza telah terbunuh sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu, termasuk lebih 5,600 kanak-kanak dan lebih 3,500 wanita.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, di Tebing Barat, lebih 215 orang terbunuh setakat malam Ahad, dengan lebih 2,800 yang lain cedera.

Di pihak rejim Israel, data kerajaan menunjukkan bahawa sekitar 1,200 orang telah terbunuh.

Manakala sekurang-kurangnya 1.7 juta orang telah kehilangan tempat tinggal di Gaza akibat perang yang berterusan.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel IDF berkata, tenteranya telah mengepung pejuang Hamas di kawasan timur Kota Gaza semalam.

Tentera pengganas Israel turut melancarkan serangan udara ke atas pelbagai infrastruktur Hamas, termasuk depot senjata, tapak pelancaran peluru berpandu anti-kereta kebal dan pos pemerhatian.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin di Gaza berkata dalam satu kenyataan bahawa tentera pengganas Israel telah menyerang sebuah hospital Indonesia di utara Gaza dan membunuh sekurang-kurangnya 12 orang selain mencederakan berpuluh yang lain.

Menurut laporan oleh beberapa media Palestin, hospital itu telah dikepung oleh kereta kebal pengganas Israel dan terdapat lebih daripada 200 pekerja perubatan, 500 pesakit dan lebih 2,000 orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung di dalamnya. – REUTERS

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini