comscore
Tumpuan :
Dunia

Lebih 200 maut dalam tempoh 24 jam di Gaza

Jenazah mereka yang terbunuh dalam serangan Israel di Hospital Nasser di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza pada 23 Disember 2023. – FOTO REUTERS

SEMENANJUNG GAZA : Lebih 200 orang lagi maut dalam tempoh 24 jam akibat serangan Israel.

Tentera rejim meneruskan serangan itu, sehari selepas Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi untuk lebih banyak bantuan masuk ke Semenanjung Gaza.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan 201 lagi kematian dalam tempoh 24 jam di wilayah itu menjadikan jumlah yang maut mencecah 20,258 sejak 7 Oktober lalu dengan kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.

Beberapa serangan pada Sabtu, termasuk serangan ke atas sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat  mengorbankan 18 rakyat Palestin.

Walaupun Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi menuntut penghantaran bantuan menyelamatkan nyawa ke Gaza ‘segera, selamat dan tanpa halangan’, bagi penduduk Palestin, lebih banyak bantuan tidak mencukupi.

“Kami tidak mahu makanan, kami mahu gencatan senjata,” kata Mahmud al-Shaer.

Ahmad al-Burawi, yang dipindahkan dari Beit Lahia jauh ke utara menambah, “Kami hanya mahu kembali ke tanah kami, itu sahaja. Kami mahu penyelesaian untuk menamatkan perang.

“Orang ramai sedang menuju kematian,” katanya.

Jurucakap Kementerian kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata, berpuluh rakyat Palestin dibunuh minggu ini di kem dan bandar Jabalia.

Serangan Israel menyebabkan 1.9 juta orang daripada 2.4 juta penduduk Gaza tinggal sehelai sepinggan.

Mereka kini bergelut untuk mencari makanan, bahan api, air dan tinggal di tempat perlindungan atau khemah yang sesak.

Semasa pertempuran, penduduk Gaza dipindahkan berulang kali.

Pada hari Jumaat, penduduk diberitahu oleh Israel untuk mengosongkan bandar itu dan bergerak ke selatan ke bandar Deir al-Balah untuk keselamatan mereka sendiri.

Tetapipegawai PBB berkata mereka masih dibom dan kebanyakan penduduk dipindahkan sepanjang hari dan malam tanpa makan.

“Kebuluran semakin hampir,” katanya.

Keadaan juga semakin parah apabila sembilan daripada 36 hospital di Gaza hanya berfungsi separa, manakala yang lain dihentikan sama sekali, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Loading...
Terkini