comscore
Tumpuan :
Dunia

Lebih 2,000 trak bantuan terkandas di Rafah

Lori menunggu di Rafah, sempadan Mesir dan Semenanjung Gaza. – Foto hiasan

ISTANBUL: Lebih 2,000 trak yang membawa bantuan kemanusiaan dan barang komersial terkandas di sempadan Rafah di Mesir, menurut kenyataan Direktorat Jeneral Kesatuan Eropah untuk Perlindungan Awam dan Bantuan Kemanusiaan pada Selasa.

“Lebih 2,000 trak yang membawa bantuan kemanusiaan dan barang komersial sedang menunggu di Mesir, bersedia untuk masuk ke Gaza.

“Susulan operasi ketenteraan yang ketat, lintasan Rafah kekal ditutup. Kesatuan Eropah menyeru laluan kemanusiaan yang berterusan, tanpa halangan dan selamat,” menurut kenyataan itu yang disiarkan di platform X.

Lintasan itu ditutup sejak tentera Israel melancarkan operasi di bandar selatan Rafah pada 6 Mei, lapor Agensi Anadolu.

Perang yang bermula Oktober lalu menyebabkan lebih 37,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala ramai orang awam cedera.

Israel juga memusnahkan sebahagian besar Semenanjung Gaza dan mengenakan sekatan terhadap wilayah itu, menyebabkan lebih dua juta penduduk di ambang kebuluran.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dengan keputusan terbarunya memerintahkan Tel Aviv menghentikan segera operasinya di Rafah.

ICJ juga meminta Israel mengekalkan pembukaan lintasan Rafah bagi menyalurkan perkhidmatan asas yang sangat diperlukan dan bantuan kemanusiaan. – BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini