comscore
Tumpuan :
Dunia

Lebih 30 burung flamingo mati dirempuh pesawat Emirates ketika mendarat di Mumbai 

MUMBAI: Sebuah penerbangan Emirates mendarat dengan selamat di Mumbai lewat malam Isnin selepas bertembung dengan sekumpulan flamingo sejurus sebelum pendaratan, merosakkan pesawat dan menyebabkan beberapa burung mati, kata syarikat penerbangan itu pada hari ini.

Pesawat Boeing 777, yang terbang dari Dubai ke Mumbai, melanggar sekumpulan flamingo sekitar 300 meter dari tanah, menyebabkan 39 burung mati, lapor akhbar Times of India.

Pawan Sharma, dari Persatuan Resqink untuk Kebajikan Hidupan Liar (RAWW) yang berpangkalan di Mumbai berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan pada petang Isnin apabila bangkai burung merah jambu itu jatuh dari langit.

Lapangan Terbang Mumbai merekodkan lebih 600 kes serangan burung oleh pesawat, dari Januari 2018 hingga Oktober 2023, berdasarkan statistik kerajaan.

Bagaimanapun, Sharma berkata, adalah luar biasa untuk begitu banyak flamingo dibunuh dalam satu peristiwa.

“Kawasan itu dipenuhi dengan bangkai burung. Serpihan sayap, paruh, kuku yang patah bertaburan di kawasan yang luas,” kata BN Kumar, dari kumpulan alam sekitar NatConnect Foundation, menurut Times of India.

Tanah lembap di sepanjang pantai Mumbai terkenal dengan sejumlah besar flamingo yang tiba sekitar bulan Disember untuk tempoh selama beberapa bulan.

“Kedua-dua burung pemastautin dan migrasi terancam daripada penerbangan yang melalui habitat penting itu,” tambah Sharma.

“Adalah penting untuk menilai kejadian ini dan mengusahakan langkah mitigasi, supaya insiden malang seperti itu dapat dielakkan,” katanya. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini