comscore
Tumpuan :
Dunia

Lebih 6,000 banduan dibebaskan junta tentera Myanmar sempena hari kebangsaan

Foto AFP

YANGON: Lebih 6,000 banduan akan dibebaskan oleh junta tentera Myanmar, termasuk seorang bekas duta Britain, wartawan Jepun dan penasihat ekonomi Australia, di bawah pengampunan yang jarang berlaku itu.

Jelas seorang pegawai kanan, bekas wakil Britain, Vicky Bowman; penasihat ekonomi Australia, Sean Turnell dan wartawan Jepun, Toru Kubota, akan dibebaskan sempena Hari Kebangsaan Myanmar.

“Secara keseluruhannya, 5,774 banduan termasuk kira-kira 600 banduan wanita akan dibebaskan,” katanya.

Bowman, yang berkhidmat sebagai duta dari 2002 hingga 2006, dipenjarakan selama setahun bersama suaminya, yang juga artis terkenal, Htein Lin pada Ogos lalu kerana menyenaraikan alamat tempat tinggal berbeza daripada yang disenaraikan dalam sijil pendaftaran warga asingnya.

Pada September lalu, Sean Turnell yang bekerja sebagai penasihat Suu Kyi disabitkan oleh mahkamah tertutup junta kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi dan masing-masing dipenjara tiga tahun.

Kubota, 26, pula ditahan pada Julai lalu berhampiran perhimpunan anti kerajaan di Yangon bersama dua warga Myanmar dan dipenjarakan selama 10 tahun.

Sumber kedutaan Jepun di Myanmar berkata, mereka dimaklumkan bahawa Kubota akan dibebaskan hari ini oleh pihak berkuasa junta dan akan terus pulang ke Jepun.

Kubota merupakan wartawan asing kelima yang ditahan di Myanmar, selepas warga Amerika Syarikat (AS), Nathan Maung dan Danny Fenster; Robert Bociaga dari Poland dan Yuki Kitazumi dari Jepun, yang mana kesemua mereka kemudiannya dibebaskan dan dihantar pulang.

Sehingga Mac ini, 48 wartawan kekal dalam tahanan di seluruh negara itu, menurut kumpulan pemantau Reporting ASEAN. – AFP

Loading...
Terkini