Tumpuan :
Dunia

Lebih 82,000 orang terjejas akibat cuaca buruk di Sri Lanka

Foto fail Reuters

COLOMBO: Lebih 82,000 orang terjejas manakala seorang maut akibat keadaan cuaca buruk di Sri Lanka, kata seorang pegawai pada Rabu, lapor Xinhua.

Penolong Pengarah Pusat Pengurusan Bencana (DMC) Janaka Handunpathiraja dalam mesej pesanan suara kepada media berkata seramai 82,796 individu daripada 24,159 keluarga di 15 daerah pentadbiran telah terjejas.

Beliau berkata enam orang cedera dengan ratusan rumah mengalami kerosakan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi pagi Rabu memaklumkan bahawa satu tekanan rendah mendalam di barat daya Teluk Bengal telah dikesan 190 kilometer (km) ke tenggara Trincomalee di timur Sri Lanka sekitar 11.30 malam waktu tempatan pada Selasa.

Menurut jabatan itu, tekanan itu dijangka bergerak ke arah barat laut menghampiri pantai timur Sri Lanka dan berpotensi meningkat menjadi ribut siklon pada Rabu yang menyebabkan hujan lebat.

— BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini