comscore
Tumpuan :
Dunia

Lelaki bertopeng panjat bumbung stadium sewaktu perlawanan berlangsung

Anggota polis cuba menahan individu panjat bumbung stadium selepas aksi Euro 2024 antara Jerman menentang Denmark. – FOTO: Daily Mail

BERLIN: Polis terpaksa campur tangan selepas wisel penamat aksi Euro 2024 antara Jerman menentang Denmark apabila seorang lelaki bertopeng memanjat bahagian bumbung Stadium BVB Dortmund.

Penyokong masih berada di stadium selepas tamat perlawanan dan orang ramai dikejutkan dengan tindakan anggota polis yang cuba menurunkan individu terbabit dari bahagian bumbung.

Rakaman yang dirakam Mail Sport menunjukkan lelaki itu berjalan di atas besi rangka bumbung dengan ramai yang menjerit memintanya turun.

Individu yang menutup bahagian muka itu berjalan ke sudut bumbung stadium ketika polis berusaha mengejarnya.

Anggota polis mengeluarkan pistol ketika mereka mengejarnya sebelum individu berkenaan menyerah diri.

Dia kemudiannya digari dan topeng pada mukanya ditanggalkan ketika peminat sudah dipindahkan dari stadium sejurus selepas kejadian itu.

Walaupun motif lelaki itu belum diketahui, namun tindakannya memanjat ke bahagian bumbung stadium pasti akan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dalam Kejuaraan Eropah.

Minggu lalu, UEFA dalam kenyataan menjelaskan keselamatan di stadium akan diperketatkan berikutan beberapa insiden penyokong menceroboh padang yang menjejaskan kejohanan itu termasuk enam kes ketika Portugal menewaskan Turki 3-0. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini