comscore
Tumpuan :
Dunia

Lelaki ditahan, curi barang kemas dalam 200 penerbangan

Foto hiasan

NEW DELHI: Seorang lelaki di India ditahan kerana disyaki mencuri barang kemas dan barang berharga lain daripada penumpang pesawat semasa 200 penerbangan yang dinaikinya sejak tahun lalu.

Polis Delhi menahan suspek yang dikenali sebagai Rajesh Kapoor, 40, selepas mereka melancarkan siasatan terhadap dua kes kecurian barang kemas dalam penerbangan yang berbeza, baru-baru ini.

Lelaki itu didakwa menempah penerbangan dengan perkhidmatan domestik premium menggunakan identiti abangnya yang meninggal dunia dan mencuri barang berharga daripada beg tangan penumpang wanita dan warga emas.

Kapoor sebelum ini mahir dalam mencuri daripada penumpang kereta api sebelum mendapati beliau boleh melakukan perkara yang sama di dalam pesawat.

“Beliau memanfaatkan proses menaiki pesawat yang kelam-kabut dan menggeledah ruang bagasi atas, mencuri barang berharga daripada beg yang tidak berkunci ketika penumpang duduk di tempat duduk mereka,” kata timbalan pesuruhjaya polis, Usha Rangnani, yang dipetik akhbar Hindustan Times pada Selasa.

Dalam beberapa kejadian, selepas memilih mangsanya, Kapoor meminta untuk menukar tempat duduknya supaya dapat menghampiri sasarannya, lapor Agensi Berita PTI, memetik seorang lagi pegawai polis.

Menceritakan mengenai latar belakang jenayah lelaki tersebut, Rangnani berkata suspek ‘sangat aktif’ antara 2007 dan 2019 serta melakukan banyak kecurian.

Kapoor biasanya menjual barang kemas yang dicuri kepada seorang tukang emas dikenali sebagai Sharad Jain, 46, di barat Delhi.

Jain, yang mencairkan perhiasan untuk membuat barang kemas baharu, turut ditahan.

Sejumlah besar barang kemas emas dan berlian ditemui dari rumahnya di Paharganj, kawasan perumahan di tengah Delhi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini