comscore
Tumpuan :
Dunia

Letak bayi dalam ketuhar

Foto hiasan

MISSOURI: Seorang ibu dikatakan ‘tersilap’ meletakkan bayi perempuan berusia sebulan di Amerika Syarikat (AS) ke dalam ketuhar bagi membolehkan anaknya itu tidur sebentar.

Menurut laporan portal NDTV, kes tragik itu berlaku pada petang Jumaat lalu apabila polis di Missouri, bertindak balas terhadap laporan mengenai seorang bayi tidak bernafas.

Sebaik tiba di lokasi kejadian iaitu sebuah rumah di Kansas City, mereka mendapati bayi itu melecur teruk dan sudah tidak bernyawa, tidak menunjukkan tindak balas dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal, ibu bayi itu didapati secara tidak sengaja meletakkan bayi berkenaan di dalam ketuhar untuk tidur sebentar, bukannya diletakkan di atas katil bayi.

Laporan mengatakan pakaian bayi itu termasuk lampin, hangus terbakar, dengan laporan turut mencatatkan kediaman lokasi tempat tragedi berkenaan berbau asap.

Selimut bayi yang terbakar turut ditemukan di tempat kejadian.

Kenyataan itu tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai bagaimana kesilapan sedemikian berlaku.

Keadaan lain berhubung sekitar kejadian itu juga tidak didedahkan.

Sementara itu, ibu bayi itu dikenali sebagai Mariah Thomas, 26, didakwa atas kesalahan membahayakan kebajikan seorang kanak-kanak.

Pejabat Pendakwa Jackson County, Jean Peters Baker berkata, Thomas menghadapi pertuduhan jenayah Kelas A membabitkan kematian kanak-kanak.

Seorang rakan ibu mangsa berkata, kesihatan mental Thomas mungkin memainkan peranan dalam tragedi itu.

Rakan ibu mangsa itu menyifatkan bayi berkenaan seorang yang ceria dan suka senyum sepanjang masa.

Thomas kini ditahan di Pusat Tahanan Jackson County. -AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini