Tumpuan :
Dunia

Liga Arab desak Majlis Keselamatan PBB hentikan keganasan Israel terhadap Palestin

Foto: Reuters

KAHERAH: Liga Arab mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan keganasannya terhadap rakyat Palestin serta memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, sempena ulang tahun ke-107 Deklarasi Balfour, Liga Arab menggesa Britain dan negara-negara lain yang belum mengiktiraf negara Palestin untuk mengambil langkah ini bagi menyokong keamanan mengikut penyelesaian dua negara.

Kenyataan itu menekankan bahawa satu-satunya cara untuk mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan adalah dengan menamatkan pendudukan Israel di semua Wilayah Palestin dan Arab yang diduduki sejak 1967, serta mewujudkan negara Palestin merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, selaras dengan resolusi antarabangsa dan Inisiatif Damai Arab.

“Deklarasi Balfour terus menjadi luka yang mendalam dalam hati nurani manusia akibat Nakba yang dialami oleh rakyat Palestin serta penafian berterusan hak sah dan tidak dapat dinafikan mereka untuk kebebasan dan kemerdekaan.

Ini merujuk kepada pelanggaran dan amalan pendudukan Israel, penempatan dan “Judaization” , pengilhakan dan kepungan, pemusnahan sumber kehidupan rakyat Palestin, serta pencemaran tempat suci mereka,” menurut kenyataan Liga Arab.

Kenyataan itu menekankan bahawa jenayah dan pelanggaran berterusan oleh pendudukan Israel adalah cerminan ketidakupayaan masyarakat antarabangsa untuk memenuhi kewajipannya dan memikul tanggungjawab dalam menentang keganasan dan pendudukan, melindungi rakyat Palestin, serta mendesak pendudukan itu mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa dan resolusi berkaitan bagi menamatkan pendudukan serta membolehkan rakyat Palestin melaksanakan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dalam sebuah negara merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Liga Arab menegaskan bahawa Israel terus berkeras memperluas kawasan serangannya, termasuk ke Lubnan dan Bukit Golan yang diduduki Syria, walaupun ancaman perang serantau semakin hampir.

Selain itu, keputusan Knesset Israel untuk melarang kerja-kerja Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Wilayah Palestin yang diduduki adalah satu lagi pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam PBB, kehendak antarabangsa, dan semua nilai kemanusiaan.

Langkah ini bertujuan memusnahkan generasi rakyat Palestin yang bergantung kepada agensi PBB itu sebagai talian hayat dalam keadaan kemanusiaan yang kritikal, katanya.

Penting bagi Israel menghentikan jenayah ini dan melindungi kerja-kerja agensi itu mengikut mandat PBB.-BERNAMA-SPA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini