comscore
Tumpuan :
Dunia

Lima sekeluarga Arab Israel ditembak mati 

Orang ramai menghadiri protes menentang keganasan terhadap komuniti Arab Israel selepas lima sekeluarga, termasuk seorang wanita dan dua remaja, ditembak mati di rumah mereka di Basmat Tab’un, utara Israel semalam – Foto: Reuters

BAITULMAQDIS: Keganasan ke atas masyarakat Arab semakin memuncak, dengan yang terbaharu lima beranak ditembak mati di rumah mereka di Israel.

Dalam kejadian di bandar utara Basmat Tab’un itu, mangsa termasuk seorang wanita dan dua remaja.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 50 tahun terbunuh awal pagi semalam.

Lebih 180 warga Arab di Israel terkorban sejak Januari lalu, dilaporkan tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

Ia sekali gus mencetuskan dakwaan kerajaan nasionalis agama Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengabaikan pertumpahan darah itu.

“Israel mempunyai kebolehan, kerajaan Israel memahami apa yang perlu dilakukan, semua orang memahami apa yang perlu dilakukan, tiada kemahuan dan tiada kepemimpinan,” kata Mansour Abbas, ketua satu parti yang mewakili minoriti Arab Israel.

Datuk Bandar Arab mendakwa kerajaan dan polis sengaja mengabaikan komuniti mereka dan membolehkan penjenayah bertindak tanpa hukuman.

Mereka enggan bekerjasama dengan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, yang pernah disabitkan dengan sokongan terhadap keganasan dan hasutan anti-Arab selain menuntut Netanyahu campur tangan.

Ben-Gvir yang menafikan dakwaan beliau tidak bertindak, sebaliknya berkata memerangi jenayah adalah agenda utamanya dan polis meningkatkan usaha membanteras jenayah, termasuk rampasan senjata dan dana daripada kumpulan penjenayah.

“Sebagai polis, kami akan melakukan segala-galanya untuk mengesan pembunuh,” kata jurucakap polis, Eli Levi kepada pemberita di tempat kejadian semalam.

Komuniti Arab, kebanyakannya berketurunan Palestin yang tinggal di Israel ketika penghijrahan besar-besaran pelarian dalam perang pada 1948 membentuk kira-kira satu perlima daripada penduduk negara itu.

Selama berdekad, mereka berdepan kadar kemiskinan yang tinggi, sekolah tidak dibiayai dan bandar sesak yang tidak mempunyai perkhidmatan. – REUTERS

|ARTIKEL BERKAITAN

 

 

Loading...
Terkini