Tumpuan :
Dunia

Lubnan akan kemuka aduan terhadap Israel di Majlis Keselamatan PBB

TEHRAN: Perwakilan Tetap Lubnan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York akan mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan berhubung serangan berterusan Israel terhadap tentera negara itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Lubnan pada Isnin mengumumkan rancangan untuk memfailkan aduan berkenaan, sehari selepas dua lagi tentera Lubnan terbunuh dan tiga lagi cedera, seorang daripadanya dalam keadaan kritikal, susulan serangan rejim Israel ke atas pangkalan tentera di Bandar Mari, selatan Lubnan, menurut IRNA.

Serangan terbaharu Israel terhadap tentera Lubnan itu menjadikan jumlah keseluruhan anggota tentera yang terkorban akibat serangan Israel sejak 8 Oktober 2023 kepada 36 orang.

Kementerian Luar Lubnan telah berulang kali memberi amaran bahawa serangan itu menjejaskan usaha antarabangsa untuk melaksanakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, yang menyeru penghentian sepenuhnya permusuhan antara Lubnan dan Israel.

Serangan berterusan tentera Israel di pelbagai kawasan di selatan Lubnan sejak bulan lepas telah mengorbankan sekurang-kurangnya 3,500 nyawa orang awam.-BERNAMA-IRNA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini