comscore
Tumpuan :
Dunia

Majlis Keselamatan PBB lanjutkan misi di Republik Afrika Tengah

Foto: MINUSCA/PBB

NEW YORK: Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan untuk melanjutkan mandat Misi Penstabilan Bersepadu Pelbagai Dimensi PBB di Republik Afrika Tengah (MINUSCA) sehingga 15 Nov 2023, lapor Xinhua.

Menerusi Resolusi 2659 dengan undian 12-0 manakala tiga berkecuali, Majlis Keselamatan memutuskan untuk mengekalkan pasukan MINUSCA yang terdiri 14,400 anggota tentera, 3,020 polis dan 108 pegawai pemeriksa.

Berdasarkan syarat, majlis itu mengenal pasti tugas utama misi ialah melindungi orang awam; menjamin jasa baik dan sokongan kepada proses damai termasuk pelaksanaan gencatan senjata dan perjanjian politik; memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan dengan segera, penuh, selamat dan tanpa halangan; dan perlindungan terhadap kakitangan PBB, pemasangan, peralatan dan barangan.

Majlis itu turut menggesa semua pihak terlibat dalam konflik untuk menghormati gencatan senjata dan menyeru pihak berkuasa Republik Afrika Tengah dan kumpulan bersenjata melaksanakan sepenuhnya perjanjian politik mengenai keamanan dan perdamaian.

Majlis Keselamatan turut menyeru pihak berkuasa Republik Afrika Tengah dan negara jiran untuk bekerjasama di peringkat serantau bagi menyiasat dan memerangi rangkaian jenayah transnasional dan kumpulan bersenjata yang terlibat dalam penyeludupan senjata dan eksploitasi sumber asli secara haram.

Republik Afrika Tengah antara wilayah termiskin di dunia, dibelenggu keganasan antara kumpulan domestik yang bertelagah, ketegangan etnik dan menjadi sasaran kumpulan bersenjata. – BERNAMA

Loading...
Terkini