MOSCOW: Acara penting Sidang Kemuncak Media BRICS ketujuh yang melibatkan pemimpin media dari 45 negara akan bermula di Moscow pada Sabtu, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).
Sidang kemuncak yang bertemakan peranan media dalam dunia multipolar itu akan dihoskan oleh TASS yang meraikan ulang tahunnya yang ke-120 pada 1 September.
Acara itu akan dihadiri ketua institusi media terkemuka daripada BRICS serta saluran media dari negara yang telah menyatakan minat mereka untuk mengembangkan kerjasama dengan kumpulan itu. Perbincangan panel akan merangkumi peranan komuniti media BRICS dalam mengukuhkan kestabilan dalam dunia multipolar, serta aspek teknologi interaksi antara negara BRICS dalam bidang maklumat.
Antara tetamu lain, sidang kemuncak itu akan dihadiri Presiden Xinhua dan Pengerusi Eksekutif Forum Media BRICS Fu Hua General, Timbalan Menteri Luar Rusia Sergey Ryabkov, Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova, Leonid Slutsky, pengerusi Jawatankuasa Duma Negara Rusia mengenai Hal Ehwal Antarabangsa, serta Mohammed bin Abdul Rabbo Al-Yami, Ketua Pengarah Kesatuan Agensi Berita Pertubuhan Kerjasama Islam (UNA OIC).
Ketua Pengarah TASS Andrey Kondrashov akan menyampaikan ucapan perasmian dan sesi pleno akan dikendalikan Timbalan Ketua Pengarah Pertama agensi berita itu, Mikhail Gusman.
– BERNAMA-TASS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.