comscore
Tumpuan :
Dunia

Malaysia gesa pelaksanaan penuh dan segera resolusi UNSC mengenai Gaza

PUTRAJAYA: Malaysia menggesa pelaksanaan penuh dan segera Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2735 pada Isnin untuk mengurangkan penderitaan dan menghentikan pembunuhan rakyat Palestin.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia mengalu-alukan penerimaan Resolusi UNSC itu.

“UNSC mesti memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan dalam piagamnya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

Menurut Wisma Putra, Resolusi berkenaan menyeru gencatan senjata segera, penuh dan lengkap, pembebasan tawanan, pertukaran tahanan Palestin, dan pengunduran penuh tentera Israel, berdasarkan cadangan tiga fasa oleh Amerika Syarikat (AS).

Ia juga menyeru pengagihan bantuan kemanusiaan yang berkesan secara meluas, serta permulaan rancangan pembinaan semula untuk Gaza, katanya lagi.

Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Agensi Anadolu melaporkan bahawa UNSC pada Isnin menerima pakai resolusi yang menyokong cadangan gencatan senjata Gaza yang diumumkan oleh Presiden AS, Joe Biden.

Resolusi yang diusahakan AS itu menerima 14 undi menyokong di Majlis Keselamatan yang terdiri daripada 15 ahli, dengan Rusia berkecuali.

Resolusi yang diterima itu menekankan usaha diplomatik yang diketuai oleh Mesir, AS, dan Qatar, dan mengalu-alukan cadangan tiga fasa Biden yang dibentangkan pada akhir Mei, menurut Agensi Anadolu.

Resolusi itu menyatakan bahawa Israel telah menerima cadangan Biden dan menyeru Hamas untuk melakukan perkara yang sama dan melaksanakannya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini